24.9.12

Membina Tradisi

Selama ini, saya telah cuba memberi penekanan untuk memulakan tradisi untuk fizik teori. Pengalaman saya sendiri, tidak mudah untuk membangunkan penyelidikan fizik teori walaupun berada dalam era teknologi maklumat yang membolehkan akses kekayaan maklumat di internet. Sepertimana yang kita tahu, kekayaan maklumat ini tidak berubah dengan automatik menjadi kekayaan pengetahun; ia perlukan pemprosesan, pengalaman dan hikmah. Untuk proses-proses tersebut, tradisi dan komuniti ilmuwan diperlukan. Malangnya, pendapat peribadi diri ini, tradisi dan komuniti yang mantap ilmu fizik teori (dan juga matematik tulen) belum lagi terdiri lagi di negara ini. Kebanyakan penyelidikan fizik teori terdahulu mungkin lebih bersifat individu; komuniti yang dibangunkan, jika ada, masih kecil dan ketahanannya masih rapuh. Diri ini yang terasa semakin sampai ke penghujung, masih rasa banyak lagi perlu dilakukan. Mungkin sahaja jalan yang ditempuhi sekarang ini bukan yang terbaik dan tidak terancang kemas tetapi ini lebih baik daripada tiada, sekurang-kurangnya membuka peluang kepada generasi yang baharu.

Ada baiknya jika kita pelajari daripada komuniti ilmuwan teori Muslim di rantau lain. Baru-baru kami di Institut Penyelidikan Matematik, UPM menerima kunjungan seorang ahli teori graf dan teori kumpulan terhingga yang disegani di peringkat antarabangsa. Beliau adalah Prof. Ali Iranmanesh, Dekan Fakulti Sains Matematik, Universiti Tarbiat Modares, di Teheran, Iran.Beliau juga Ketua Editor Iranian Journal of Mathematical Sciences and Informatics.

Prof. Ali Iranmanesh, saya dan Prof. Madya Dr. Zanariah


Ketika pembentangan beliau di Institut, apa yang saya dapati menarik (selain kandungan teknikal pembentangannya) ialah rujukannya adalah kebanyakannya daripada penyelidik berbangsa Iran (dan penulisan mereka bukan sahaja tertumpu kepada jurnal di Iran tetapi turut termuat dalam jurnal matematik antarabangsa terindeks oleh Thomson-Reuters). Dengan sifat ingin tahu tentang tradisi yang dibina oleh kumpulannya, saya bertanya sejak bila bidang teri graf dan teorikumpulan terhingga bertapak di Iran. Beliau menyatakan dalam sekitar 80-an dan kini sudah pun sampai ke generasi ke-empat. Mungkin sahaja bermula dengan penyelia beliau Mohammad Reza Darafsheh yang kembali ke Iran pada lewat 70-an (sila lihat salasilah beliau). Prof. Iranmanesh sendiri sudah ramai pelajarnya pula (salasilah beliau yang tak lengkap) dan pelajarnya pula sudah ada yang menyelia dan mengraduatkan pelajar. Lagi seorang profesor seangkatan dengan Mohd Reza Darafsheh adalah M. Mahdavi Hezavehi. Yang menarik di sini adalah kaitannya dengan UPM; pelajar beliau Saeed Akbari mempunyai seorang pelajar seliaan bersama dengan Peng Yee Hock (ahli teori graf UPM) iaitu Saeid Alikhani. Malang Prof. Peng sendiri tidak ada meninggalkan anak didiknya di UPM.

Begitulah tradisi teori graf dan teori kumpulan terhingga yang telah dibangunkan di Iran; empat generasi dalam masa lebih kurang tiga puluh tahun. Harapan besar diri ini, adalah perkara yang sama juga dapat dilakukan bagi fizik teori. Cuma diri ini terlampau banyak bidang yang telah diceburi yang mungkin sahaja melemahkan pembangunan tradisi yang ada. Secara umum saya kategorikan pengkhususan saya dalam asas teori kuantum dan kaedah geometri. Tetapi oleh kerana keadaan dan minat yang bercambah, saya juga melibatkan diri dalam teori kosmologi dan teori rangkaian kompleks. Juga, sejak akhir-akhir saya mula meminati teori kategori, logik dan teori graf. Minat teori graf muncul dari kajian dalam bidang geometri hiperbolik kemudian turut dirangsang oleh aplikasi rangkaian kompleks (yang mungkin sahaja ada implikasi dalam logik). Semoga dikurniakan dengan ilmu yang bermanfaat dan diturunkan tradisinya ke lapisan ilmuwan yang lebih muda dan lebih pintar.

7.7.12

Penangan Zarah Higgs

Beberapa hari lepas, penyelidik di CERN mengumumkan penemuan zarah baharu bak Higgs, suatu penemuan yang menggembirakan bagi kebanyakan ahli fizik zarah kerana zarah ini sudah lama dijangkakan wujud dalam Model Piawai Fizik Zarah (secara teori) tapi sebelum ini belum dijumpai. Walaupun tak diisytiharkan sebagai zarah Higgs sepenuhnya, ramai yang menjangka sifat-sifat yag patut ada akan disahkan selanjutnya nanti.

Pada asalnya, saya tidak berhajat untuk menulis apa-apa mengenai penemuan ini (ramai lagi saya rasa penulis muda berbakat yang boleh berbuat demikian) tetapi kerana adanya sahabat bertanyakan apakah yang dimaksudkan dengan penemuan 'God particle' ini, terpanggillah pula saya untuk menulis sesuatu. Paling utama, gelaran 'God particle' ini hanyalah satu gelaran sahaja, dibuat secara berjenaka oleh Leon Lederman (penerima Hadiah Nobel fizik untuk penyelidikan neutrino) dan tidaklah pula diguna di kalangan komuniti fizik teori atau fizik zarah (saya sendiri belum membaca buku beliau yang memuatkan gelaran ini tapi sifat gurauannya jelas daripada ulasan terhadap buku ini). Namun akibat gurauan ini, sesetengah pihak mungkin sahaja silap faham mengenai perkara tersebut. Mungkin di sini boleh kita ambil pengajaran untuk berhati-hati apabila cuba mempopularkan bidang sains (malah bidang apa sekali pun) - sudah tentu penulis Muslim tidak akan berjenaka dengan gelaran sedemikian.

Apakah keistimewaan zarah Higgs sehingga bergelaran demikian? Untuk itu, kita harus mengetahui serba sedikit tentang fizik zarah dan teorinya. Pertama, zarah Higgs ini adalah seangkatan dengan apa yang ahli fizik  zarah sebut sebagai zarah asas (mengikut model ini, zarah yang tiada bersubstruktur). Zarah asas secara kasar terbahagi dua, zarah jirim dan zarah (pembawa) daya. Zarah jirim terdiri daripada kuark dan lepton. Kedua-dua lepton dan kuark ini terbahagi kepada tiga generasi pula:

Generasi pertama:      Kuark                    Lepton
                                  u (up)                    e (elektron)
                                  d (down)               νe (neutrino)

Generasi kedua:
                                  c (charm)               μ (muon)
                                  s (strange)              νμ (neutrino muon


Generasi ketiga:
                                  t (top)                    τ (lepton tau)
                                  b (bottom)             ντ (neutrino tau)

Setiap satu zarah ini (kadangkala dipanggil perisa - flavour) mempunyai set nombor kuantum tersendiri atau cas mengikut interaksi. Ini membawa kita kepada jenis interaksi atau daya yang dialami oleh zarah. Diketahui umum, ada empat jenis daya yang dikenali dan disenaraikan di bawah dengan zarah pembawa daya (gauge boson atau boson tolok - ada istilah yang lebih sesuaikah?):


Daya elektromagnet - foton (γ)
Daya saling tindakan nuklear lemah - boson W (cas positif/negatif) dan Z (neutral)
Daya saling tindakan nuklear kuat - gluon g (ada lapan)
Daya graviti - graviton (lazimnya tidak termasuk dalam model piawai)


Sebelum membincangkan zarah Higgs, perlu kita sebut bahawa perihalan zarah-zarah tersebut di atas perlukan formalisme yang melampaui mekanik kuantum iaitu teori medan kuantum. Teori ini muncul apabila dicuba untuk menggabungkan teori kerelatifan khas dengan mekanik kuantum lazim (tak kerelatifan) dan didapati teori terhasil adalah bersifat berbilang jasad yang akhirnya memerlukan konsep medan. Menurut teori medan kuantum, setiap satu 'zarah asas' itu mempunyai medan kuantumnya tersendiri. Pada satu masa dahulu saya berfikiran teori medan kuantum akan menggantikan (supersede) mekanik kuantum, khususnya merungkaikan permasalahan teori kuantum. Sebenarnya tidak, malah masalah yang ada pada mekanik kuantum tetap sedia ada pada teori medan kuantum, malahan ditambah dengan permasalahan lain. Contohnya ontologi medan kuantum masih kurang jelas dan diperdebatkan di kalangan ahli falsafah.Bagi ahli fizik zarah, lazimnya dianggap medan ini adalah perkara yang nyata dan zarah adalah manifestasinya, tanpa menghiraukan permasalahan yang dibangkitkan oleh ahli falsafah. Ini sifat pragmatik mereka untuk membolehkan mereka meneruskan usaha penyelidikan mereka. Jika medan itu nyata, adakah ia sentiasa ada atau hanya ada mengikut keadaan; adakah ia tersebar atau bertempat (masalah penyetempatan). Jika kita pindahkan ontologinya ke zarah, juga bermasalah. Seperti dalam teori kerelatifan khas yang klasik, teori medan kuantum menganggap tenaga setara dengan jisim, dan oleh sebab itu dibenarkan zarah untuk wujud dari tenaga yang ada sekiranya tenaga itu melebihi tenaga jisim rehat zarah tersebut. Malah vakum dalam teori medan kuantum bergelora dengan zarah-zarah maya setakat yang dibenarkan oleh prinsip ketakpastian Heisenberg ΔE Δt ≥ h/2π. Bukan setakat itu sahaja, dalam konteks formalisme Fock, keadaan superposisi pelbagai bilangan zarah pun boleh wujud.

Bagi membolehkan perbincangan seterusnya, kita harus mengambil langkah pragmatik (seperti ahli fizik zarah) dan terus guna konsep medan kuantum tanpa soal. Dalam kerangka teori medan kuantum, setiap satu zarah yang terlibat dalam suatu saling tindakan harus mematuhi kekangan simetri yang ada pada saling tidakan tersebut. Sebagai contoh, zarah pembawa daya (boson tolok) pada asasnya tidak boleh berjisim. Namun untuk realiti saling tindakan nuklear lemah, boson toloknya perlu berjisim (yang tidak dibenarkan dalam konteks lazim). Dengan itu perlu wujud suatu mekanisme yang memberi jisim kepada zarah boson W dan Z. Di sinilah  mekanisme Higgs mula digunakan dengan membawa masuk medan Higgs ke dalam teori saling tindakan lemah tersebut. Medan (asal) bagi zarah W dan Z akan bersaling tindak dengan medan Higgs. Apabila medan Higgs membawa keadaan vakum yang tak remeh (nilai jangkaan vakum tak sifar), saling tindakan tersebut akan memberi jisim kepada zarah W dan Z (pembaca boleh merujuk pelbagai animasi di tempat lain bagaimana ini berlaku). Bukan itu sahaja, zarah jirim seperti elektron dan kuark juga tidak dibenarkan berjisim menurut struktur teori saling tindakan nuklear lemah tetapi melalui saling tindakan medan zarah jirim dengan medan Higgs, masalah ini boleh diselesaikan. Begitulah kiranya kisah bagaimana medan Higgs membawa peranan penting dalam memberi jisim bagi zarah-zarah. Bagaimana pula zarah Higgs itu sendiri? Zarah ini muncul dari medan kuantumnya sepertimana zarah-zarah lain iaitu melalui pengujaan kuanta medan. (Catatan: sebutan jisim bagi zarah Higgs dibenarkan oleh struktur teori melalui keupayaan Higgs V(φ) yang tidak diketahui nilai parameternya, lalu membuat jisim Higgs sukar diketahui sebelum ini).

Jika benar zarah dijumpai baru-baru ini adalah zarah Higgs, maka lengkaplah teori Model Piawai fizik zarah dalam bentuk minimumnya. Di sini, saya beri penekanan pada bentuk minimum model iaitu dengan satu zarah Higgs yang muncul daripada satu multiplet kembar dua (doublet) mengikut struktur teori berkenaan. Multiplet yang lebih besar atau berganda boleh juga diterima (dengan syarat dibangun dengan mematuhi keadaan fizik yang ada) dan ini membenarkan lebih daripada satu zarah Higgs untuk wujud. Apatah lagi sekiranya teori yang lebih asas (seperti teori kesatuan daya dan teori adisimetri) itu ada kebenarannya yang mempunyai multiplet Higgs besar sedemikian. Adakah ini semua mainan minda ahli teori? Memang mudah untuk ahli teori terperangkap dengan imaginasi. Di sinilah peranan penting untuk ahli eksperimen dan ahli fenomenologi untuk membantu menentukan teori yang mana satu boleh diterima pakai. Penemuan zarah Higgs, jika benar, bukanlah pertama kali teori mendahului eksperimen. Sebelum ini penemuan zarah W dan Z juga bersifat demikian manakala zarah kuark pula diusul oleh ahli teori untuk menyelesaikan masalah berbilang-bilangnya hadron (yang ketika itu dianggap sebagai zarah asas). Semoga penemuan semua ini memberi kita rasa takjub dan rendah diri dengan hukum perjalanan alam ciptaan Allah ini.

22.6.12

Sekitar Pembacaan Isra' Mi'raj

Secara kebetulan menjelang cuti Isra' Mi'raj, Isnin yang lalu, saya telah menghabiskan pembacaan buku "Israk dan Mikraj - Latarbelang dan Falsafahnya", karangan Syaikh Najmuddin al-Ghaithiy dan diterjemah oleh Akmal Hj Mhd Zain (Crescent News(KL), 2008). Buku setebal 611 mukasurat ini saya pinjam dari perpustakaan apabila dipamer sebagai buku baharu tak lama dahulu. Terus terang saya tertarik untuk meminjam buku ini hanya daripada melihat ketebalan buku ini untuk suatu peristiwa istimewa dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Buku ini bukan sahaja memuatkan kupasan ketika peristiwa itu sahaja, tapi turut membincangkan apa yang berlaku sebelum itu dengan panjang lebar dan juga mengenai mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w. Menurut buku ini, Isra' dan Mi'raj merupakan mukjizat yang terbesar selepas al-Qur'an. Tidak layak saya untuk mengupas isi buku dan memadailah saya turunkan pendapat Syeikh Prof. Dr. Yusuf Qardawi mengenai peristiwa iaitu dua perkara penting:
  • kepentingan hubungan Masjidil-Aqsa dengan Masjidil-Haram
  • kepentingan ibadah solat fardhu yang disampaikan kepada Rasulullah ketika Mi'raj
Sebagai tambahan untuk penambahbaikan buku ini, penerbit/penyunting bolehlah membetulkan kesilapan ejaan yang terdapat dalam buku ini (bukan sedikit) dan juga pada tanda baris ayat al-Qur'an dan hadits yang kelihatan bertindan atau jauh dari hurufnya.

Sebagai orang awam yang berpendidikan sains (yang lazimnya disampaikan secara sekular), izinkan saya menurunkan beberapa perkara yang menarik bagi diri saya tentang peristiwa ini (tanpa kupasan panjang lebar, hanya sekadar menarik perhatian).

Pertama, menurut ulama', perjalanan Rasulullah s.a.w. dalam Isra' dan Mi'raj berlaku dengan tubuh fizikalnya sekali yang menunjukkan saling berkaitan rapat alam fizikal dengan perkara ghaib (melampaui kefahaman biasa). Kedua adalah perjalanan Mi'raj melalui lapisan langit-langit; sesuatu yang diri kerdil ini ingin sangat memahami apakah yang dimaksudkan langit itu. Ketiga, statusnya sebagai mukjizat yang pada kata dasarnya bermaksud melemahkan atau mengalahkan. Secara umum, perkara-perkara mukjizat adalah perkara yang diluar jangkaan atau tidak tercapai akal biasa. Sudah tentu sains yang (bagi saya) hanya satu sistem ekstraksi kebenaran (yang tidak lengkap) manusia mengikut apa yang lazim berlaku, tidak mampu menjelaskan atau menghuraikan fenomena luar biasa tersebut. Namun, difahamkan pula dalam al-Qur'an mukjizat-mukjizat rasul-rasul ini disebut sebagai ayat (tanda) yang mengundang proses akal pula. Hal ini sangat menarik bagi saya dan mengingatkan saya kepada makalah yang ditulis oleh Abdul Hakim Murad, "Reason as Balance - The evolution of 'Aql". Kefahaman mudah saya dapat fikirkan adalah adanya kerangka ilmu yang lebih luas yang menjadi superset kepada kebenaran yang dibawa oleh sains lazim (tetapi tidak bertujuan sekadar memberi rasionalisasi fenomena). Wallahu a'lam bissawab.

18.5.12

Model Guru: Langkah Praktikal

Dua hari yang lepas, kita telah menyambut Hari Guru. Hari tersebut disambut oleh ramai dengan mengenang jasa guru kepada mereka. Namun diri ini menyambut dengan rasa serba sedikit sedih, mengenangkan peranan sebenar guru dan cabaran yang guru hari ini hadapi. Guru, saya diberitahu oleh ketua saya, mengikut etimologi bahasa Sanskritnya adalah beralih daripada kegelapan ke arah yang terang. Betapa sukarnya menghdupkan peranan ini dalam zaman yang penuh fitnah dan kemarahan, kekeliruan antara haq dan bathil, kerendahan adab dan sopan. Lazimnya kita mudah mengatakan yang ideal, mengupas teori yang kompleks tetapi dalam realiti betapa sukarnya memindahkannya dalam bentuk praktikal. Teringat akan doa, "Ya Allah, sesungguhnya daku memohon perlindungan padaMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan daripada hati yang khusyuk dan daripada nafsu yang tidak pernah kenyang dan daripada doa yang tidak dimaqbulkan."

Sempena hari tersebut saya mengutip semula suatu buku telah saya baca satu ketika dulu iaitu "Nabi Muhammad - Guru dan Pendidik Terulung" karangan As-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (diterjemah oleh Hj Shuhadak Mahmud). Buku ini memetik daripada kehidupan Rasulullah s.a.w., teknik-teknik bagaimana Baginda mengajar dan mendidik sahabatnya dan masyarakat sekeliling. Setiap satu teknik ini diberikan dua-tiga contoh hadits yang menunjukkan teknik tersebut dipraktikkan. Ada empat puluh dua semuanya yang dikumpul pengarang dan di sini saya akan salinkan saja senarai teknik ini untuk panduan pembaca semua. Jika ingin penerarangan yang lebih mendalami, bolehlah cari dan miliki buku tersebut.

Empat puluh dua teknik terkumpul adalah:

  1. Menjadikan dirinya sebagai model pendidikan
  2. Mengajar secara beransur
  3. Meraikan kesederhanaan dan menjauhi kebosanan
  4. Meraikan perbezaan pelajar
  5. Memberi nasihat mengikut keadaan seseorang
  6. Meraikan individu ketika menjawab pertanyaan
  7. Dialog dan soal-jawab (interaksi dua hala)
  8. Perbualan dan pertimbangan akal
  9. Menyoal pendengar bagi menyingkap kecerdikan
  10. Bahasa kiasan dan perumpamaan
  11. Perbandingan
  12. Melukis dan melakar
  13. Menggabungkan percakapan dengan isyarat
  14. Mempamerkan benda yang dilarang untuk penegasan
  15. Menyampaikan maklumat tanpa didahului persoalan
  16. Menjawab persoalan yang diajukan
  17. Menambah jawapan lebih daripada persoalan
  18. Memberi jawapan lain daripada persoalan
  19. Meminta penyoal mengulangi pertanyaan
  20. Menyerahkan kepada pendengar menjawab soalan
  21. Menguji dan memuji
  22. Mendiamkan diri dan membenarkan apa yang berlaku
  23. Menggunakan kesempatan terbaik
  24. Pendekatan seloka dan senda gurau
  25. Mengukuhkan pengajaran dengan bersumpah
  26. Mengulangi bicarakata sebanyak tiga kali
  27. Menukar cara duduk dan pengulangan kata
  28. Mengulangi panggilan dan melewatkan jawapan
  29. Memegang bahu atau tangan pendengat
  30. Menyatakan sesuatu dengan bentuk kesamaran
  31. Menyampaikan secara umum dan menghuraikannya
  32. Menyebut angka bilangan dan menghuraikannya
  33. Memberi nasihat dan peringatan
  34. Kaedah galakan dan ancaman
  35. Menyebut kisah dan derita umat terdahulu
  36. Muqaddimah yang lembut dalam perkara yang memalukan
  37. Bahasa kiasan dan isyarat bagi perkara yang disegani
  38. Memberi tumpuan khusus terhadap wanita
  39. Marah dan bertegas ketika perlu
  40. Kaedah penulisan
  41. Mengarahkan sahabat mempelajari bahasa asing
  42. Penyampaian ilmu melalui keperibadian

Moga-moga senarai ini dapat kita manfaatkan bersama.

31.3.12

Sedikit Pendirian Peribadi

Tidak berapa lama dahulu, saya terlibat dengan sedikit perbincangan di FB kerana rasa terpanggil untuk menyuarakan sesuatu. Di situ, secara tak langsung saya telah memberi komitment untuk membincangkan beberapa aspek akademik mengenai buku Prof. Shaharir di sini. Perlu saya tekankan di sini, saya tiada hasrat untuk berdebat, cuma ingin mengetahui apa yang "lebih benar" dan apa yang "lebih baik". Kadangkala saya lihat mod perdebatan menjadi arena nafsu menegakkan pendapat sendiri tak kira apa pun sehingga hilang semua rasa hormat dan ini saya ingin elak.

Sebelum membuat apa-apa perbincangan di sini, ingin saya sebut serba sedikit tentang diri saya dan juga pendirian supaya jelas di mana saya dalam perbincangan nanti. Pertama, tentang diri saya yang dididik dengan sistem barat, dari persekolahan awal hingga ke universiti. Ini saya tidak dapat nafi dan tidak dapat saya elak, Tapi adakah ia menafikan saya langsung untuk berfikir sebagai seorang Muslim, seorang Melayu? Sudah tentu dan alhamdulillah tidak. Pasti akan ada pengaruh Melayu dan pengaruh barat dalam diri ini, terpakej semuanya dengan kebaikan dan keburukannya sekali. Dalam hal ini, saya pernah dilabel sebagai orang kebaratan dengan begitu hebat sekali. Kadangkala sampai ke satu tahap yang merungsingkan saya. Pernah beberapa tahun yang dahulu, seorang ketua saya bertanya samada saya sembahyang atau tidak kerana agaknya penampilan saya begitu kebaratan. Ada juga pengarang yang menulis dalam bukunya bahawa saya menulis nama saya dalam penerbitan ala kebaratan walaupun saya anggap ini bukan isu besar - lazimnya terikut dengan borang di barat yang memerlukan surname (nama keluarga), dan apabila dipanggil secara formal akan dipanggil mengikut surname tersebut. Amalan Melayu tiada nama keluarga tetapi nama sendiri diikuti dengan nama bapanya dan di barat mereka memanggil saya Dr. Zainuddin. Adakah saya tergila-gila untuk mengikuti aspek ini? Saya rasa tidak. Saya kenang kembali (lama dahulu sebelum adanya buku tersebut) dalam suatu bengkel pelan strategik dan timbul perbincangan tentang strategi menaikkan penerbit universiti. Dalam perbincangan  itu, saya sarankan supaya penerbit universiti mengeluarkan satu manual standard sendiri sepertimana Penerbit University of Chicago menghasilkan The Chicago Manual of Style. Antara saranan saya supaya menghasilkan satu standard untuk penulisan nama orang Asia yang lain cara pemberian nama daripada barat; orang Melayu dengan nama sendiri bersama nama bapa dan orang Cina dengan nama keluarganya di depan dan bukan di belakang; bagaimana untuk membeza-beza cara nama ini. Atas saranan ini, saya ditertawakan dan bagi saya tidak mengapalah; tidak saya ingin perbesarkan aspek ini dan tidak juga saya ingin tidak memperdulikan langsung (isu itu tetap ada). Saya hanya ingin menyumbang idea dan perkara ini bukan medan perjuangan saya. Atas isu barat atau tidak, saya cuba mengambil yang baik dari mana-mana tamadun, cuba elak daripada mana-mana yang tidak baik dan saya momohon agar saya diberi hidayah oleh Nya dalam hal ini.

Kedua adalah isu sains Islami yang saya sokong pembangunannya tetapi bertempat. Saya lebih cenderung dengan pendapat sains Islami yang benar-benar wujud setakat ini adalah ilmu tafsir, ilmu hadits, imu fiqh, ilmu falaq yang telah lama dibangunkan oleh sarjana Islam terdahulu dan tidak pula saya menidakkan wujudnya sains Islami yang lain. Saya turut membaca dan mengikuti pelbagai usaha sains Islami dahulu dalam tahun 80 dan 90-an. Dahulunya saya pernah berlanggan dengan MAAS Journal of Islamic Science. Pernah saya bincang dengan Prof. Shaharir tentang minat saya ini tetapi saya turut sebut kekecewaan saya tentang tiada perkembangan lanjut (yang berbeza) tentang sains Islami. Harapan saya adalah mungkin supaya ia berkembang ke tahap yang lebih mendalam falsafahnya, lebih analitik, mengemukakan idea baru, mengatasi apa-apa masalah sains sedia ada. Apabila saya menyebut perkara ini, bukanlah saya memperkecilkan usaha yang telah ada kerana saya memahami kesukaran yang akan dilalui (jika mudah, mungkin saya terlebih dahulu yang buat). Saya sambut baik misalnya usaha yang dilaku oleh Dr. Mat Rofa, Dr. Alinor dan Prof. Shaharir yang menyelongkar semula khazanah muslim terdahulu dan juga khazanah alam Melayu. Mungkin perlu saya ingin ungkit kembali (kerana ramai tidak tahu dan bukan pula saya nak bermegah) ketika Laboratori Inovasi dalam Pendidikan Matematik (yang menjalankan penyelidikan Etnomatematik) hampir disarankan untuk ditutup. Saya menyuarakan pendapat yang berbeza ketika itu dan mengatakan kebaikan adalanya laboratori yang memperjuangkan falsafah sains matematik termasuk aspek pendidikan. Alhamdulillah, laboratori ini diteruskan dalam bentuk Laboratori Etnomatematik dan Didaktik. Juga, baru-baru ini dalam membincangkan pembentangan ketua laboratori untuk visi institut dalam majlis sambutan ulangtahun ke-10, saya turut menyokong saranan Dr. Mat Rofa untuk membincangkan aspek pengdokumentasian sebagai satu visi dan misi penting walaupun ada yang menyarankan perkara lain. Dengan ini saya berharap tiada yang berpandangan saya menentang pembangunan sains Islami.

Ketiga, saya turut mementingkan pengkhususan walaupun secara ideal konsep kesatuan ilmu itu ada. Bagi saya sendiri, pengkhususan saya ialah fizik teori (lebih khusus lagi teori kuantum) namun minat saya turut ada dalam banyak bidang yang lain. Saya rasa diri ini tidak dapat memperjuangkan sepenuhnya dalam bidang sains Islami kerana tiada kebolehan berbahasa Arab yang saya anggap penting untuk memahami al-Qur'an dan membaca sumber asli khazanah muslim terdahulu. Bukannya tidak mahu ceburi sains Islami dengan lebih dekat. Apa yang saya boleh buat memberi pandangan tentang aspek fizik teori (sepertimana dalam perbicnagan FB terdahulu) kerana itu kepakaran yang saya ada. Dan bukan pula sebarang komen saya ini untuk mempertahankan bidang ini dalam konteks territorialisme. Saya rasa tiada individu boleh mengatakan dia tahu semuanya apatah lagi mempunyai pengalaman yang mencukupi. Di sinilah pengkhususan akan memainkan peranan dan bukan untuk mengecualikan orang lain untuk mengatakan sesuatu. Manusia biasa tidak mampu meneliti kesemua ilmu pengetahuan sekurang-kurangnya mengikut kaedah capaian imu yang lazim. Dalam dapatan penyelidikan kumpulan etnomatematik yang saya baru tahu (dan adanya juga yang saya tahu sebelumnya melalui pembacaan sendiri). Begitu juga dalam bidang fizik teori itu sendiri, Banyak benda baru yang telah ditemui yang belum saya pelajari. Saya percaya begitu juga untuk orang lain. Bagi mengatasi perkara ini, perkongsian ilmu perlu dengan rasa hormat kepada ilmuwan berlainan. Saya memilih fizik teori kerana laluan didikan sudah sedemikian. Saya juga memandang pengkhususan dalam fizik teori ini juga satu 'fardhu' kifayah seperti mana orang lain menganggap bidangnya sedemikian juga. Malah bilangan ahli fizik teori muslim di tanah air masih kecil dan berbeza-beza pula subbidangnya.

Akhir sekali, saya selalu mengambil jalan tengah bagi bab ilmu relatif ini dan tidak ekstrim dalam menyatakan pendapat. Selain daripada perkara yang harus diyakini dan yang sudah diyakini, hati ini selalu berdetik, menanyakan apakah yang saya tahu itu benar dan bermanfaat dan tidak berasaskan syak wasangka, andaian dan tidak pula sia-sia. Moga-moga diberi hidayah dan dilindungi daripada kesesatan dan perkara yang sia-sia.



12.2.12

Teks Ucapan Hari Inovasi INSPEM 2010

Ini adalah teks ucapan saya pada Hari Inovasi INSPEM 2010 pada 31 Januari 2012. Hari Inovasi ini merupakan hari yang disambut setiap tahun sebagai ganti Hari Q dan kali ini diadakan untuk memberi penghargaan kepada sumbangan warga INSPEM pada tahun 2010.

Y.Bhg. Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Universiti Putra Malaysia
Prof. Dr. Tai Shzee Yew

Y.Bhg. Pengarah Institut Penyelidikan Matematik

Prof. Dato’ Kamel Ariffin Mohd Atan

Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Talib

Timbalan Pengarah, Timbalan -timbalan Dekan, tetamu-tetamu jemputan, Ketua-ketua Laboratori

Rakan-rakan seperjuangan dan seluruh warga INSPEM yang dihormati.

Assalamualaikum w.r.b. dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya mengucapkan syukur alhamdulillah ke atas penganugerahan ini yang tidak saya sangka akan dapat. Sebenarnya dalam hati saya, diri ini rasa begitu kerdil sekali untuk mendapat anugerah ini kerana rasanya banyak lagi yang saya belum dapat lakukan untuk INSPEM atau UPM mahupun untuk kerjaya saya sendiri. Namun, saya ingin berterima kasih kepada pihak INSPEM yang begitu menaruh kepercayaan kepada saya untuk menerima anugerah ini. Sebarang kejayaan yang ada saya rasa hanyalah keinginan saya untuk menjadi sebahagian daripada organisasi yang berjaya (to be part of some success) yakni INSPEM dan semuanya ini berlaku dengan sokongan padu oleh pengurusan INSPEM dan semua staff.

Sedikit perasaan gerun saya apabila mendengar perkataan “tokoh” yang dikaitkan dengan anugerah ini kerana tokoh membawa maksud orang ternama yang membawa identiti organisasi tersebut. Saya rasa diri ini tidak termasuk dalam golongan ternama, tapi hanya orang yang bernama, nama yang diberi oleh kedua arwah ibu bapa saya.

Oleh sebab saya diminta memberi sedikit ucapan, izinkan saya berkongsi, apa yang saya cita-cita untuk buat bersama INSPEM. Institut sebagai peneraju penyelidikan, saya pandang sebagai tempat di mana dibangunkan suasana yang memberangsangkan para penyelidik khususnya dalam ilmu sains matematik. Sedikit sebanyak, saya dengan rakan di laboratori cuba lakukan ini dengan pelbagai aktiviti sama ada konferensi, seminar kumpulan berkala, kursus, penerimaan saintis pelawat dan lain-lain aktiviti percambahan idea penyelidikan, dengan sasaran meningkatkan lagi kualiti penyelidikan kami.

Sebagai contoh aktiviti yang saya terlibat secara langsung adalah Expository Quantum Lecture Series (EQuaLS). Aktiviti EQuaLS ini telah dapat membawa ramai saintis terkemuka dari luar negara ke INSPEM dan saya rasa telah memberi perkembangan positif kepada komuniti ahli fizik teori dan sains matematik berkaitan. Dengan EQuaLS, tahap penyelidikan fizik teori, khususnya kumpulan penyelidikan saya sendiri dapat dipertingkatkan ke tahap yang diterima baik oleh komuniti antarabangsa. Malah secara tak langsung, ia menghidupkan semangat EQuaLS; berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pakar-pakar antarabangsa. Bukanlah tujuan saya untuk mendabik dada di sini, cuma pandangan peribadi bahawa jika benar tahap antarabangsa yang ingin kita tuju, maka interaksi dengan pakar antarabangsa seperti di EQuaLS merupakan langkah praktikal. Di sini, saya ingin berkongsi lagi perkara yang lazim saya beritahu kepada pelajar-pelajar saya: kita kini sudah sampai ke fasa berkebolehan untuk berbual dengan pakar luar negara tanpa rasa takut dan dapat pula memahami segala penyelidikan kompleks yang mereka buat. Fasa seterusnya yang patut kita tuju adalah menjana idea-idea yang begitu asli menandingi mereka di luar negara, mampu berdebat (konstruktif) dengan mereka. Apabila kita sampai di sana, tidak perlu kita hirau lagi status antarabangsa itu kerana kita telah membuat standard sendiri.

Fizik teori merupakan bidang yang menemukan hukum alam yang baru dan para ahli fizik teori lazimnya disegani di kalangan komuniti fizik. Juga, ia berkait rapat dengan penjanaan banyak konsep baru matematik. Selama ini saya telah cuba usahakan bidang ini agar tidak lagi digeruni oleh pelajar tempatan. Dahulu (80an) komuniti fizik teori di Malaysia dapat dikira dengan jari, saya kenal semua ahlinya. Kini, sudah wujud generasi baru ahli fizik teori yang saya sendiri tidak begitu kenal atau belum kenal lagi. Dahulunya kami bekerja dalam subbidang berasingan, tapi kini sudah wujud kelompok-kelompok kecil dalam subbidang tertentu. Dalam bidang yang berkait terus dengan teori kuantum, contohnya, sudah ada kumpulan di Universiti Malaya dan di Universiti Islam Antarabangsa di Kuantan, selain di UPM. Di UPM, kita sudah membuka sekurang-kurangnya tiga halatuju:

  • Asas binaan kuantum dan pengkuantuman
  • Teori kuantum di ruang hiperbolik – berkait rapat dengan geometri, teori kumpulan dan teori nombor
  • Aspek geometri dan topologi dalam teori maklumat kuantum
 Selain itu, kita juga membuka hala tuju penyelidikan
  • Kosmologi bermatematik
  • Rangkaian kompleks
Kesemua topik ini juga berkait rapat perkembangan matematik baru. Di luar negara, didapati ahli fizik teori akan bekerja sama dengan ahli matematik dalam penyelidikan mereka. Saya rasa perkara ini dapat juga dilakukan di sini. Di luar negara, sempadan antara satu-satu disiplin kian hilang. Malah kita dapati gabungan lebih besar: fizik-matematik-sains komputer mula membuak-buak. Kita juga tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan terbaru ini. Pada tahun lepas, kita telah pun membuat jaringan dengan University of Auckland untuk satu inisiatif yang saya anggap berani. Inisiatif ini akan meneroka teori-teori seperti logik kuantum, struktur boleh komputasi (computable structures), struktur automata yang melibatkan unsur-unsur fizik, matematik dan sains komputer. Saya kira kita bernasib baik mendapat peluang untuk bekerjasama dengan pakar-pakar seperti Prof. Bakhadyr Khoussainov (pakar logik) dan rakan-rakannya yang lain. Besar harapan saya agar inisiatif mendapat sambutan dan sokongan dari semua rakan-rakan dan moga-moga membuahkan hasil yang berimpak tinggi.

Jelas sudah bahawa banyak yang saya perkatakan ini belum tercapai, masih diusahakan dan ada masih tahap cita-cita. Seperti saya katakan pada awal ucapan, banyak lagi yang belum dapat saya lakukan. Saya berharap pihak INSPEM dan UPM masih lagi dapat menerima usaha-usaha ini. Doa saya agar usaha ini memberi kita ilmu yang bermanfaat (tidak sia-sia) dan diberi laluan yang mudah.

Akhir kata, saya ingin berterima kasih dengan pelajar dan rakan-rakan saya di INSPEM dan Fizik; semua pegawai INSPEM, ahli pengurusan, Dato’ Pengarah sendiri yang telah memberi sokongan kepada saya selama ini. Juga tidak dilupakan keluarga saya; isteri saya Rosnah Mustapa; anak-anak saya, Khair, Ihsan (yang akan ke sekolah asrama baru hari ini; tidak dapat saya hantar), Izhar dan Izzuddin. Apa yang baik adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah dari sifat insan diri saya sendiri.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.