22.6.12

Sekitar Pembacaan Isra' Mi'raj

Secara kebetulan menjelang cuti Isra' Mi'raj, Isnin yang lalu, saya telah menghabiskan pembacaan buku "Israk dan Mikraj - Latarbelang dan Falsafahnya", karangan Syaikh Najmuddin al-Ghaithiy dan diterjemah oleh Akmal Hj Mhd Zain (Crescent News(KL), 2008). Buku setebal 611 mukasurat ini saya pinjam dari perpustakaan apabila dipamer sebagai buku baharu tak lama dahulu. Terus terang saya tertarik untuk meminjam buku ini hanya daripada melihat ketebalan buku ini untuk suatu peristiwa istimewa dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Buku ini bukan sahaja memuatkan kupasan ketika peristiwa itu sahaja, tapi turut membincangkan apa yang berlaku sebelum itu dengan panjang lebar dan juga mengenai mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w. Menurut buku ini, Isra' dan Mi'raj merupakan mukjizat yang terbesar selepas al-Qur'an. Tidak layak saya untuk mengupas isi buku dan memadailah saya turunkan pendapat Syeikh Prof. Dr. Yusuf Qardawi mengenai peristiwa iaitu dua perkara penting:
  • kepentingan hubungan Masjidil-Aqsa dengan Masjidil-Haram
  • kepentingan ibadah solat fardhu yang disampaikan kepada Rasulullah ketika Mi'raj
Sebagai tambahan untuk penambahbaikan buku ini, penerbit/penyunting bolehlah membetulkan kesilapan ejaan yang terdapat dalam buku ini (bukan sedikit) dan juga pada tanda baris ayat al-Qur'an dan hadits yang kelihatan bertindan atau jauh dari hurufnya.

Sebagai orang awam yang berpendidikan sains (yang lazimnya disampaikan secara sekular), izinkan saya menurunkan beberapa perkara yang menarik bagi diri saya tentang peristiwa ini (tanpa kupasan panjang lebar, hanya sekadar menarik perhatian).

Pertama, menurut ulama', perjalanan Rasulullah s.a.w. dalam Isra' dan Mi'raj berlaku dengan tubuh fizikalnya sekali yang menunjukkan saling berkaitan rapat alam fizikal dengan perkara ghaib (melampaui kefahaman biasa). Kedua adalah perjalanan Mi'raj melalui lapisan langit-langit; sesuatu yang diri kerdil ini ingin sangat memahami apakah yang dimaksudkan langit itu. Ketiga, statusnya sebagai mukjizat yang pada kata dasarnya bermaksud melemahkan atau mengalahkan. Secara umum, perkara-perkara mukjizat adalah perkara yang diluar jangkaan atau tidak tercapai akal biasa. Sudah tentu sains yang (bagi saya) hanya satu sistem ekstraksi kebenaran (yang tidak lengkap) manusia mengikut apa yang lazim berlaku, tidak mampu menjelaskan atau menghuraikan fenomena luar biasa tersebut. Namun, difahamkan pula dalam al-Qur'an mukjizat-mukjizat rasul-rasul ini disebut sebagai ayat (tanda) yang mengundang proses akal pula. Hal ini sangat menarik bagi saya dan mengingatkan saya kepada makalah yang ditulis oleh Abdul Hakim Murad, "Reason as Balance - The evolution of 'Aql". Kefahaman mudah saya dapat fikirkan adalah adanya kerangka ilmu yang lebih luas yang menjadi superset kepada kebenaran yang dibawa oleh sains lazim (tetapi tidak bertujuan sekadar memberi rasionalisasi fenomena). Wallahu a'lam bissawab.